Friday, July 17, 2009

Pisang hiasan penyeri laman


Spesies tidak berbuah, kian digemari sebagai tanaman pagaran

SELAIN kelapa, pokok pisang dikategorikan sebagai tanaman yang serba guna kerana setiap komponen pokoknya dari batang hingga ke daun dan buahnya boleh dipelbagaikan kegunaannya.

Terbaru, pokok pisang yang dikenali dengan nama saintifiknya Musa spp menjadi pokok hiasan yang semakin mendapat perhatian peminat seni hias laman.

Namun, pisang yang sering di taman sebagai penghias laman bukannya pokok pisang yang berbuah seperti yang banyak ditemui terdapat di kampung serta di pinggir hutan.

Pisang yang sering dipilih menghias laman adalah dari jenis Musa Ornata seperti Abyssinian, Siam Yellow Banana, African Red, Milky Way, Mannii, Becarrii, Macro, Royal Purple , Royal Ruby, Royal Pink, Sumatrana (Zebrina), Bronze Banana dan Musa Velutina.

Ada banyak jenis pisang untuk tanaman sama ada yang berbunga atau berdaun lebar yang rendah sesuai untuk menjadi tanaman pagaran dan pemisah sempadan.




Pokok pisang yang menjadi penghias laman biasanya tumbuh setinggi 0.127 meter mempunyai pelepah dan daun lebih kecil, berbunga dan mengeluarkan jantung tetapi kebanyakan tidak berbuah. Jika ada buahnya pun ia tidak boleh dimakan.

Musa coccinea mempunyai bunga dan jantung berwarna merah, manakala musa rosea bunganya merah jambu. Kedua-dua spesies ini mengeluarkan bunga yang menegak tidak seperti pisang yang biasa dilihat dengan jantungnya melentuk ke bumi.

Biasanya, pisang untuk hiasan laman tidak tumbuh dalam bentuk perdu, sebaliknya tumbuh tunggal dan pokoknya lebih kurus serta saiz pokok pendek.

Satu lagi pisang hiasan yang menjadi pilihan ramai adalah Musa Velutina yang boleh membesar setinggi 10.14 sentimeter dengan daun berwarna hijau dan gangsa dengan jantung berwarna merah jambu dan bunga jingga, manakala buahnya berwarna merah jambu baldu.

Dikategorikan sebagai pokok mudah ditanam dan dijaga, pisang hiasan juga kurang diserang penyakit walaupun cacing halus (nematodes) dan beluncas suka menyerang.

Dengan penjagaan yang betul, biasanya pisang hiasan mudah hidup dan tidak memerlukan penjagaan rapi. Sebagai pokok tropika dan subtropika, pisang hiasan biasanya memerlukan cahaya matahari dan saliran air yang baik.

Namun, bagi sesetengah spesies masih boleh hidup walaupun di tempat yang bersuhu sejuk dengan cahaya matahari yang sederhana.

Spesies pisang secara tradisionalnya banyak ditemui di Kepulauan Pasifik seperti Samoa, Fiji dan Hawaii. Di Asia, pisang banyak ditemui di Malaysia, Indonesia dan Thailand, yang lebih dikenali sebagai pokok untuk industri makanan dan kraftangan membuat tali.

Pisang dikenali di seluruh dunia dan mempunyai pelbagai gelaran seperti fa‘i (Samoa); leka, jaina (India dan Fiji);mai‘a (Hawai‘i); maika dan panama (New Zealand: Maori); meika (Cook Islands); sou (Solomon Islands); Banane, bananier (Perancis); Banane, Bananen, Bananenpisang, Bananenstaude (Jerman); , banano, plátano, platanero, guineo (Sepanyol, Amerika Latin); chotda dan no tsubomi (Jepun), getang (Indonesia), saging (Filipna) dan barbaro, zapolete (Mexico).

INFO: Tip Tanam Pisang

  • Pokok pisang memerlukan tanah yang lembap dan tidak boleh hidup dengan tanah yang mengandungi banyak garam tetapi sukakan tanah berasid.

  • Pokok pisang memerlukan kuantiti air yang banyak tetapi pastikan jangan berlebihan yang boleh merosakkan akarnya. Tanah perlu lembap setiap masa tetapi bukannya berair.

  • Baja pokok pisang sebulan sekali dan seelok-eloknya letakkan baja sekeliling pokok dalam keluasan 10.16 sentimeter hingga 20.32 sentimeter. Pastikan baja tidak mengenai batang pokok. Bagi pokok yang ditanam dalam pasu seeloknya kadar baja adalah separuh daripada baja untuk pokok di luar pasu.

  • Untuk memangkas atau membersihkan pokok, potong saja pelepah dan buang daun kosong. Untuk pengetahuan, pokok pisang tidak perlu selalu dipangkas.
  • No comments:

    Post a Comment